KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, kini menyertai PAS apabila mendaftar sebagai ahli seumur hidup parti itu.
Perkara berkenaan didedahkan Ketua Pemuda PAS Selangor yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, Mohamed Sukri Omar, menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut beliau, keputusan Isham menyertai PAS dimaklumkan sendiri melalui mesej WhatsApp yang diterimanya pada malam Jumaat.
Mohamed Sukri berkata, Isham telah melengkapkan borang keahlian PAS sebelum memilih untuk menjadi ahli seumur hidup kerana percaya parti itu merupakan platform terbaik bagi meneruskan perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Beliau turut menyifatkan penyertaan Isham sebagai satu perkembangan yang dialu-alukan, sambil menegaskan PAS sentiasa membuka ruang kepada mana-mana individu yang ingin bersama perjuangan parti dengan niat yang ikhlas.
Katanya, kekuatan PAS bukan dibina atas kepentingan individu atau kedudukan, sebaliknya berasaskan pegangan akidah, prinsip perjuangan serta tanggungjawab untuk memimpin masyarakat berlandaskan ajaran Islam.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri mendoakan agar Isham diberikan kekuatan dan istiqamah untuk terus menggalas amanah sebagai anggota PAS.
“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan, keikhlasan dan istiqamah kepada beliau serta seluruh anggota PAS untuk terus memikul amanah perjuangan, mempertahankan Islam, memperkukuh perpaduan ummah dan membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
“Perjuangan ini tidak diukur dengan siapa yang datang paling awal, tetapi dengan siapa yang tetap istiqamah hingga ke akhirnya. Selamat datang ke saf perjuangan,” katanya.










