KANGAR: Abu Bakar Hamzah menepis dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan BERSATU, sebaliknya menegaskan masih kekal sebagai ahli serta Pengerusi BERSATU Perlis.
Menteri Besar Perlis itu menjelaskan kekeliruan timbul apabila segelintir pihak tersalah tafsir tindakannya melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, sedangkan beliau tidak pernah mengumumkan keluar daripada parti.
Menurutnya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen ketika ini turut terikat dengan Akta Anti Lompat Parti, sekali gus menjadikan dakwaan mengenai pertukaran kerajaan negeri atau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis tidak berasas.
“Netizen membaca cerita tidak habis. Saya hanya melepaskan jawatan sebagai Ahli MPT BERSATU yang dimenangi pada 2024, bukannya keluar parti.
“Saya masih Pengerusi BERSATU Perlis tertakluk kepada perkenan Presiden parti. ADUN Pauh, Titi Tinggi, Sena serta Ahli Parlimen Kangar juga masih kekal sebagai ahli BERSATU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan segelintir pengguna media sosial supaya DUN Perlis dibubarkan susulan salah faham mengenai status keahliannya dalam parti.
Mengulas lanjut, Abu Bakar menjelaskan keputusan melepaskan jawatan di peringkat pusat bersama ADUN Sena, Marzita Mansor, langsung tidak berkait dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau sebarang pergolakan kepimpinan di peringkat nasional.
Sebaliknya, beliau berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran kerajaan negeri, selain memperkukuhkan semula BERSATU Bahagian Kangar susulan pergerakan beberapa ahli jawatankuasa yang berhasrat meninggalkan parti.
Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan tindakan Ahli Dewan Negara, Senator Azahar Hassan, keluar daripada BERSATU sebagai keputusan peribadi yang dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan kepimpinan parti di peringkat negeri.
Bagaimanapun, Abu Bakar menegaskan setakat ini tiada ahli di peringkat cawangan di Perlis yang mengambil langkah sama mengikut jejak Azahar.










