Permintaan Pusat Data Uji Grid Elektrik Negara, Malaysia Perlu Segara Tambah Kapasiti Penjanaan Baharu

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan cabaran memastikan bekalan elektrik kekal mencukupi apabila pertumbuhan pesat pusat data dijangka meningkatkan permintaan tenaga secara mendadak, sekali gus menguji keupayaan negara menggantikan kapasiti penjanaan yang bakal ditamatkan operasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bagi menangani cabaran itu, kerajaan mempercepat pembangunan loji janakuasa gas baharu menerusi program NEWGEN26, yang dilihat sebagai komponen penting dalam memastikan keselamatan bekalan elektrik negara ketika permintaan terus meningkat susulan pembangunan pusat data, elektrifikasi industri dan pertumbuhan ekonomi digital.

Berdasarkan kertas konsultasi Suruhanjaya Tenaga (ST), Semenanjung Malaysia memerlukan sehingga 7,848 megawatt (MW) kapasiti baharu berasaskan gas antara 2029 hingga 2031 bagi mengekalkan margin bekalan elektrik yang mencukupi.

Dalam tempoh sama, hampir 6,930MW kapasiti penjanaan daripada loji arang batu dan gas dijadualkan ditamatkan operasi, termasuk Stesen Janakuasa Sultan Aziz di Kapar, Loji Janamanjung di Perak dan Loji Tanjung Bin di Johor.

Peralihan itu selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu sebagai sumber penjanaan asas (baseload) dan meningkatkan penggunaan gas asli yang menghasilkan pelepasan karbon lebih rendah.

Namun, pelaksanaan projek baharu berdepan cabaran rantaian bekalan global apabila permintaan terhadap turbin gas meningkat di seluruh dunia susulan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih.

Firma penyelidikan Wood Mackenzie melaporkan tempoh penghantaran turbin gas kini boleh mencecah lima tahun, berbanding kira-kira tiga setengah tahun sebelum ini, berikutan kekangan pengeluaran komponen kritikal seperti bilah turbin jenis single-crystal.

Beberapa pemain industri bagaimanapun dilaporkan telah mendapatkan bekalan turbin lebih awal, termasuk YTL Power, Malakoff dan TNB yang masing-masing telah mengumumkan perolehan turbin daripada Mitsubishi Power bagi menyokong projek janakuasa baharu mereka.

Dalam masa yang sama, permintaan elektrik daripada pusat data dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan penggunaan tenaga negara. Penggunaan pusat data kini mewakili kira-kira 7% daripada permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia dan dijangka meningkat kepada 31% menjelang 2035.

Bagi mengurus pertumbuhan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan mengehadkan kelulusan projek pusat data baharu kepada pelaburan yang mempunyai kaitan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), bagi mengimbangi penggunaan elektrik dan sumber air.

Walaupun sejumlah besar projek pusat data telah diluluskan, penggunaan sebenar ketika ini masih berada pada paras rendah, iaitu sekitar 54% daripada kapasiti yang telah diluluskan, manakala baki 948MW dijangka hanya mula beroperasi secara berperingkat menjelang 2028.

Namun, tempoh pembinaan loji gas yang semakin panjang bermakna projek yang dianugerahkan hari ini mungkin hanya dapat beroperasi sekitar 2029, ketika lonjakan permintaan tenaga daripada pusat data dijangka semakin ketara.

Malaysia juga mengekalkan dasar untuk tidak membina loji janakuasa arang batu baharu sebagai sebahagian daripada komitmen mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.

Berdasarkan data Grid System Operator (GSO), Semenanjung Malaysia mempunyai kapasiti penjanaan yang disambungkan ke grid sebanyak 28,192MW dengan permintaan puncak mencecah 21,583MW, memberikan margin rizab sekitar 23.4%.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira loji yang menjalani penyelenggaraan berjadual, kapasiti sebenar yang tersedia dianggarkan kurang daripada 25,000MW, sekali gus mengecilkan margin rizab kepada sekitar 13%.

Keadaan itu turut menyebabkan Semenanjung Malaysia meningkatkan import elektrik sehingga 300MW dari Thailand dalam tempoh tertentu bagi membantu mengekalkan kestabilan sistem.

Dalam masa sama, tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro semakin menyumbang kepada campuran penjanaan elektrik negara, namun sifatnya yang bergantung kepada keadaan cuaca menjadikan sumber tersebut belum mampu menggantikan sepenuhnya peranan loji penjanaan asas.

Pertumbuhan pesat pusat data juga dilaporkan meningkatkan kejadian power sag, iaitu penurunan voltan sementara akibat gangguan pada talian penghantaran atau loji janakuasa. Walaupun kebanyakan gangguan berlaku hanya dalam tempoh beberapa puluh milisaat, ia tetap boleh memberi kesan kepada operasi pusat data yang memerlukan bekalan kuasa berterusan.

Dalam jangka pendek, kerajaan membenarkan beberapa loji janakuasa gas terus beroperasi melepasi tempoh asal bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik.

Persoalan utama kini bukan lagi sama ada Malaysia mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi pada masa ini, tetapi sama ada kapasiti penjanaan baharu dapat disiapkan dengan cukup pantas untuk menggantikan loji arang batu yang bakal ditutup, ketika permintaan tenaga terus dipacu oleh pembangunan pusat data dan ekonomi digital.

BBerkaitan

Latest articles