Azalina: Kemenangan PRN Bukan Penentu Pengampunan Najib, Ia Kuasa Mutlak Agong

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan sebarang keputusan berhubung pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak boleh dijadikan bahan kempen politik kerana ia berada di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan yang diketuai Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, tanggapan bahawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu membuka laluan kepada pembebasan Najib adalah tidak berasas kerana kuasa memberi pengampunan diraja bukan ditentukan oleh mana-mana parti atau kerajaan.

“Keputusan untuk membebaskan seseorang yang sedang menjalani hukuman penjara adalah hak Lembaga Pengampunan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Ia sama sekali tidak berkaitan dengan politik,” katanya pada sidang media khas di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas dakwaan yang mengaitkan kemenangan BN di Johor dengan kemungkinan Najib memperoleh pengampunan diraja.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa PRN Johor diadakan kerana ada pihak yang mahu kembali memegang tampuk kuasa bagi membolehkan Najib dibebaskan daripada hukuman penjara.

Menurut Anwar, pilihan raya negeri itu sebenarnya tidak perlu diadakan, namun tercetus kerana keyakinan pihak tertentu bahawa mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk kembali berkuasa.

Sebelum ini, anak Najib, Datuk Nazifuddin Najib, dilaporkan berkata kemenangan besar BN pada PRN Johor akan menjadi petunjuk bahawa rakyat masih memberi sokongan kepada bapanya, sekali gus diharap dapat membuka ruang kepada pengampunan diraja.

Kenyataan itu kemudian mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dilaporkan berkata beliau akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan daripada Jemaah Menteri sekiranya Najib dibebaskan, malah tidak menolak kemungkinan DAP menarik diri daripada kerajaan perpaduan.

Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas hukumannya dalam kes melibatkan SRC International Sdn Bhd dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun melalui proses pengampunan, manakala denda RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijadualkan menamatkan hukuman pada 23 Ogos 2028.

Selain itu, beliau turut disabitkan bersalah dalam kes membabitkan dana 1MDB atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang membawa hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Najib telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles