KPT Sangkal Dakwaan Pelajar Asing Rampas Tempat Kuota Tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menepis dakwaan kononnya kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam menjejaskan peluang pelajar tempatan menyambung pengajian, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Dalam satu kenyataan, KPT berkata dakwaan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, gagal menggambarkan keadaan sebenar kerana menggabungkan statistik pelajar prasiswazah dan pascasiswazah sehingga menimbulkan persepsi bahawa pelajar asing telah mengambil tempat pelajar Malaysia.

Menurut kementerian, data rasmi menerusi sistem MyMoheS sehingga 31 Disember 2025 merekodkan jumlah keseluruhan enrolmen di universiti awam seramai 634,706 pelajar, dengan hanya 56,565 orang atau 8.9 peratus terdiri daripada pelajar antarabangsa.

KPT menjelaskan majoriti pelajar asing sebenarnya mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah dan bukannya bersaing dengan lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma yang memohon program prasiswazah.

Bagi peringkat prasiswazah, seramai 502,212 daripada 520,105 pelajar atau 96.56 peratus merupakan rakyat Malaysia, manakala pelajar antarabangsa hanya berjumlah 17,893 orang, bersamaan 3.44 peratus.

“Kemasukan pelajar antarabangsa ke program prasiswazah dilaksanakan berdasarkan prinsip over and above, iaitu hanya selepas kuota utama melalui sistem UPUOnline dipenuhi,” menurut kenyataan itu.

KPT turut menjelaskan situasi berbeza bagi program pascasiswazah seperti sarjana dan doktor falsafah, yang sememangnya terbuka kepada calon tempatan serta antarabangsa bergantung kepada kelayakan akademik dan kapasiti penyelidikan universiti.

Selain tidak menerima subsidi kerajaan, pelajar antarabangsa juga membayar yuran penuh serta perlu memenuhi syarat akademik dan proses saringan yang ditetapkan universiti.

Menurut KPT, kehadiran mereka bukan sahaja membantu memperkukuh kedudukan kewangan universiti, malah menyumbang kepada peningkatan kemudahan pembelajaran, penyelidikan serta reputasi institusi pengajian tinggi negara di peringkat antarabangsa.

Mengulas dakwaan berhubung lima universiti penyelidikan utama negara iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia, KPT memaklumkan jumlah keseluruhan enrolmen di institusi terbabit ialah 186,824 pelajar.

Daripada jumlah itu, 145,727 orang atau 78 peratus merupakan pelajar tempatan, manakala 41,097 orang atau 22 peratus ialah pelajar antarabangsa.

Kementerian berkata, daripada keseluruhan pelajar antarabangsa di lima universiti penyelidikan berkenaan, seramai 28,135 orang atau 68.5 peratus mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah.

Menurut KPT, penyertaan pelajar antarabangsa di universiti penyelidikan adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara, termasuk memperluas inovasi, penerbitan ilmiah dan jaringan kerjasama akademik di peringkat global.

BBerkaitan

Latest articles