Tiada Pengumuman Projek Baharu Sepanjang Tempoh Kempen Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak dibenarkan mengumumkan sebarang projek atau dasar baharu selepas hari penamaan calon sesuatu pilihan raya kerana ia bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, larangan itu turut meliputi penggunaan jentera kerajaan di semua peringkat, termasuk Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi tujuan berkempen.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan projek yang telah diluluskan sebelum tempoh pilihan raya boleh diteruskan dan diumumkan semula kerana tidak melanggar peruntukan undang-undang.

Menurutnya, pengumuman berkaitan projek sedia ada yang telah mendapat kelulusan dalam belanjawan atau berada dalam perancangan kementerian adalah dibenarkan, namun projek baharu sama sekali tidak boleh diumumkan ketika tempoh berkempen.

Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai penguatkuasaan larangan pengumuman peruntukan dan projek kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Mengulas isu pengumuman yang dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Anwar menjelaskan tindakan itu tidak menyalahi undang-undang kerana hanya membabitkan projek baik pulih yang telah diluluskan lebih awal, bukannya projek baharu.

Walaupun tiada kesalahan dari sudut perundangan, Anwar mengakui beliau lebih cenderung mengelakkan pengumuman seumpama itu ketika musim pilihan raya bagi mengelakkan salah tafsir dan memastikan kerajaan terus mematuhi semangat serta peraturan pilihan raya.

BBerkaitan

Latest articles