KPKT Rangka Garis Panduan Baharu, Krematorium Dilarang Dibina Berhampiran Kawasan Perumahan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memuktamadkan satu garis panduan perancangan nasional bagi pembangunan tanah perkuburan bukan Islam, krematorium dan kolumbarium bagi memastikan pemilihan lokasi dibuat secara lebih terancang serta mengambil kira kepentingan masyarakat dan alam sekitar.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) itu akan menjadi rujukan utama dalam menentukan kesesuaian lokasi pembinaan kemudahan berkenaan.

Menurut beliau, antara aspek yang diwajibkan dalam penilaian ialah faktor kesihatan awam, keselamatan, kesesuaian guna tanah, keadaan topografi, struktur tanah serta tahap aksesibiliti kawasan.

Beliau berkata, lokasi yang dipilih juga perlu mengelakkan kawasan berisiko seperti zon banjir, cerun mudah runtuh serta kawasan yang berpotensi memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan kesejahteraan penduduk.

“Selepas garis panduan ini dimuktamadkan, ia akan menetapkan zon penampan minimum sejauh 30 meter antara tapak krematorium dengan sempadan pembangunan.

“Selain itu, pembinaan krematorium tidak akan dibenarkan di kawasan perumahan, komersial, rekreasi dan pelancongan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Nga turut menjelaskan bahawa krematorium yang menggunakan bahan api minyak atau diesel hanya sesuai ditempatkan di kawasan perindustrian berat.

Bagi amalan pembakaran terbuka pula, ia hanya dibenarkan di kawasan luar bandar atau kampung dan tidak dibenarkan sama sekali di kawasan tanah gambut.

Dalam aspek kawalan pencemaran, beliau berkata setiap pengendali krematorium diwajibkan mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), termasuk memasang sistem kawalan pelepasan yang diluluskan bagi menapis asap dan abu hasil pembakaran.

Katanya, sisa pembakaran juga tidak boleh dilepaskan ke sungai, longkang atau sistem pembetungan awam bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Mengulas mengenai penglibatan masyarakat, Nga berkata pandangan dan maklum balas penduduk setempat boleh dipertimbangkan oleh pihak berkuasa tempatan ketika menilai sesuatu cadangan pembangunan mengikut undang-undang serta prosedur yang berkuat kuasa.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mersing, Islahuddin Abas, yang meminta penjelasan berhubung garis panduan, syarat kelulusan dan prosedur operasi standard (SOP) pembinaan krematorium berhampiran kawasan kediaman, termasuk aspek jarak minimum, penilaian impak alam sekitar serta langkah kawalan pencemaran udara.

Menurut Nga, KPKT komited memastikan setiap pembangunan krematorium dilaksanakan mengikut peraturan sedia ada di samping mengambil kira sensitiviti serta kebajikan komuniti setempat.

BBerkaitan

Latest articles