​JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani menegaskan bahawa akaun Facebook menggunakan nama ‘HARAPAN Pengerang’ bukan akaun rasmi beliau mahupun jentera parti.
​Faizul yang juga Ketua Cabang Keadilan Pengerang dan Pengerusi Harapan Pengerang berkata, penafian itu dibuat susulan kekeliruan orang awam dan media berhubung beberapa hantaran akaun terbabit.
​Katanya, ia termasuk isu bendera Harapan dibakar di kawasan DUN Tanjung Surat yang tular sejak semalam.
​”Saya memandang serius penyalahgunaan nama ‘HARAPAN Pengerang’ kerana ia boleh mengelirukan pengundi, menjejaskan suasana kempen serta mencemarkan imej calon, parti dan jentera pilihan raya.
​”Satu laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat untuk tindakan lanjut berhubung akaun palsu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
​Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat individu di sebalik akaun berkenaan serta motif utama ia diwujudkan.
​Dalam perkembangan sama, Faizul mendedahkan jentera kempennya turut mengesan tindakan sabotaj melibatkan bahan kempen termasuk papan tanda (billboard) miliknya di beberapa lokasi.
​Jelasnya, pandangan billboard berkenaan dipercayai telah dihalang secara sengaja melalui pemasangan bendera parti lain di hadapannya.
​”Perkara ini telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan ruang kempen yang sepatutnya berlangsung secara adil, tertib dan menghormati peraturan,” katanya.
​Sehubungan itu, beliau menasihati para penyokong dan pengundi agar tidak mudah terpengaruh dengan hantaran provokatif daripada akaun tidak rasmi.
​”Saya menyeru semua pihak agar menghormati proses demokrasi dan memberi ruang kepada kempen yang bersih, matang dan beradab.
​”Bertandinglah dengan hujah, bukan helah. Berkempenlah dengan tawaran, bukan provokasi. Dekatilah rakyat dengan idea, bukan sabotaj,” katanya.










