PM Lancar Pasport Baharu Esok, Lebih Selamat, Sukar Dipalsukan

​KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperkenalkan versi baharu Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) esok, yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan berteknologi tinggi.

​Majlis pelancaran dokumen perjalanan itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lobi Parlimen.

​Langkah menaik taraf ini merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara, selaras dengan statusnya sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia.

​Peningkatan ini amat signifikan berbanding versi sedia ada yang hanya mempunyai 49 ciri keselamatan, sekali gus menjadikannya lebih istimewa dan sukar dipalsukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

​Antara elemen baharu yang diperkenalkan termasuk komponen hologram, cetakan ultraviolet (UV), visual tersembunyi, serta ciri forensik khas.

Malah, aspek keselamatan turut diperinci pada benang jahitan buku pasport dan rekaan unik yang berbeza pada setiap helaian muka surat.

​Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada awal tahun ini mengumumkan pengenalan pasport dan MyKad berwajah baharu demi memperkasakan keselamatan data negara.

​Untuk rekod, PMA berada di kedudukan ketiga sebagai pasport paling berkuasa di dunia berdasarkan ranking Passport Index pada tahun lepas.

BBerkaitan

Latest articles