JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) menyerahkan sepenuhnya keputusan pelantikan jawatan Menteri Besar Johor kepada kebijaksanaan dan hak prerogatif Sultan Johor, sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menegaskan, setakat ini gabungan berkenaan langsung tidak membincangkan isu kerusi nombor satu negeri itu kerana mahu fokus kepada agenda khidmat rakyat.
”Isu menteri besar kita tak bincangkan langsung kerana kita akur bahawa mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri, prerogatif untuk melantik menteri besar ialah kuasa Istana. Jadi, di penghujungnya Tuanku yang akan tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin di media sosial yang mengaitkan nama beliau sebagai antara calon utama Menteri Besar Johor daripada blok PH jika menang PRN kelak.
Mengulas lanjut, Maszlee menjelaskan bahawa PH tidak hanya bergantung kepada kredibiliti individu tertentu, sebaliknya mempertaruhkan barisan calon yang berkualiti demi kesejahteraan masyarakat.
”Bagi kami, kita akan cuba beri yang terbaik, hatta kita rangkakan pendekatan untuk yang terbaik, servis yang terbaik, jadi kita tak bergantung kepada satu tokoh semata-mata.
”Kita kemukakan satu kumpulan, kalau kita kata 56, 56 itulah ‘Avengers’ kita,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRN Johor berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
INFO DUN N41 PUTERI WANGSA
Jumlah Pengundi: 128,723 orang
Senarai Calon Bertanding:
Nicholas Paul Vincent (Parti Bangsa Malaysia)
Wang Wee Siong (Bebas)
Dr Maszlee Malik (PH-PKR)
Rashifa Aljunied (MUDA)
Teow Chia Ling (BN-MCA)
Kerusi ini dimenangi oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA dengan majoriti 7,114 undi pada PRN 2022.










