Mudahkan Rakyat Pulang Mengundi, Kor Ming Cadang Tol Percuma

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pengecualian bayaran tol di semua lebuh raya di seluruh negara selama dua hari sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, pengecualian tol pada 10 dan 11 Julai itu diyakini dapat meringankan beban rakyat Johor yang berada di luar negeri untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, cadangan berkenaan akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Nga turut mengingatkan bahawa arahan PAS supaya penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) berpotensi memberikan kelebihan besar kepada gabungan itu.

Beliau mendakwa situasi tersebut boleh menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH), selain menyifatkan BN sebelum ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap amalan demokrasi di Johor menerusi kelulusan Rang Undang-Undang yang memperkenalkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sehubungan itu, Nga menyeru rakyat, khususnya masyarakat Cina, agar keluar mengundi pada 11 Julai bagi menentukan hala tuju negeri dan negara.

Beliau turut menggesa pengundi Cina supaya tidak memecahkan undi dengan memberi sokongan kepada MCA, sambil menyatakan jumlah komuniti itu dijangka terus berkurangan kepada sekitar 13.8 peratus menjelang 2050.

Menurutnya, perpecahan undi hanya akan mengurangkan pengaruh politik masyarakat Cina, sedangkan mereka masih mampu memainkan peranan sebagai kumpulan penentu sekiranya terus bersatu.

Katanya lagi, keadaan itu amat signifikan di negeri seperti Johor dan Perak, di mana pengundi bukan Melayu membentuk sekitar 46 hingga 48 peratus daripada keseluruhan pengundi, sekali gus mampu memberi impak besar kepada keputusan pilihan raya sekiranya pengundi Cina dan India bergerak sehaluan.

BBerkaitan

Latest articles