Malaysia Lancar MD2030, Sasar Jadi Pencipta Teknologi Digital Menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi melakar fasa baharu transformasi digital negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Malaysia Digital 2030 (MD2030), sebuah rangka tindakan nasional yang menjadi asas kepada usaha menjadikan negara sebagai pengeluar teknologi dan inovasi digital menjelang tahun 2030.

Pelan yang merangkumi tempoh pelaksanaan 2026 hingga 2030 itu menandakan perubahan strategi negara daripada sekadar mengguna pakai teknologi kepada membangunkan penyelesaian digital tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Kementerian Digital, MD2030 menetapkan beberapa sasaran utama menjelang 2030, termasuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan 500,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor digital, menjana penjimatan RM4.5 bilion kepada sektor awam melalui pendigitalan serta memastikan 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian secara menyeluruh.

Kementerian Digital diberi tanggungjawab sebagai peneraju utama bagi menyelaras pelaksanaan dasar tersebut, sekali gus memacu aspirasi Malaysia ke arah menjadi Negara AI 2030.

Pelaksanaan MD2030 akan digerakkan menerusi tujuh teras utama iaitu kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi.

Setiap teras dipimpin kementerian berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara bersepadu melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.

Di bawah Teras Kerajaan, tumpuan diberikan kepada pemodenan penyampaian perkhidmatan awam menerusi penubuhan GovTech Malaysia.

Bagi Teras Ekonomi pula, kerajaan mahu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan dan inovasi digital serantau melalui pembangunan produk “Made by Malaysia”, penggunaan teknologi dalam sektor pertumbuhan bernilai tinggi serta pengoptimuman data, aset digital dan harta intelek.

Teras Infrastruktur memberi penekanan kepada penyediaan capaian internet berkualiti di seluruh negara selain memperkukuh pembangunan infrastruktur digital masa hadapan seperti pusat data, pengkomputeran awan dan bandar pintar.

Sementara itu, Teras Bakat bertujuan melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi ekonomi digital menerusi pembangunan dasar bakat yang lebih menyeluruh dan menjadikan Malaysia sebagai hab bakat digital di peringkat serantau serta global.

Dalam aspek kemasyarakatan, kerajaan akan memperluaskan penyertaan rakyat dalam ekonomi digital melalui pelaksanaan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia, pemerkasaan komuniti luar bandar dan pembangunan penyelesaian digital yang memberi impak sosial.

Teras Kepercayaan dan Keselamatan pula memberi fokus kepada pengukuhan keselamatan siber, perlindungan data serta pembangunan Strategi Kepercayaan Digital Negara 2026-2030, termasuk pengoperasian Suruhanjaya Data Negara.

Bagi memperkukuh ekosistem inovasi, kerajaan akan memperluaskan kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi bagi mempercepatkan penghasilan teknologi tempatan yang mampu dipasarkan.

Gobind berkata, pelancaran MD2030 membuktikan Malaysia kini bersedia melangkah ke era baharu sebagai negara pengeluar inovasi digital dan bukan lagi sekadar pengguna teknologi.

Beliau berkata, Kementerian Digital komited memastikan segala usaha transformasi itu dilaksanakan berasaskan tadbir urus yang kukuh, kepercayaan awam serta keselamatan data, selain dipacu melalui kerjasama menyeluruh antara kementerian dan agensi kerajaan.

Pelaksanaan MD2030 akan diselaraskan bersama beberapa agensi utama di bawah Kementerian Digital, termasuk Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Jabatan Digital Negara (GovTech Malaysia), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), CyberSecurity Malaysia, MyDIGITAL Corporation dan Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR).

Menurut kementerian, kejayaan MD2030 dijangka membentuk Malaysia sebagai sebuah Negara AI yang progresif, dengan kecerdasan buatan dimanfaatkan secara meluas dalam kehidupan harian, data dijadikan aset strategik negara, sistem digital yang lebih pintar dan autonomi serta rakyat yang berkembang seiring kemajuan teknologi.

Kerajaan turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan pelan berkenaan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital serantau, malah memberi manfaat yang inklusif kepada seluruh lapisan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles