PAS Bermesyuarat Petang Ini, Tentukan Pendirian Sokongan Kepada Bersatu Dalam PRN Johor

KUALA LUMPUR: Tanda tanya mengenai hala tuju hubungan PAS dan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka terjawab petang ini apabila Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengadakan mesyuarat khas di Pejabat Agung PAS.

Mesyuarat yang dijadual bermula pada jam 4 petang itu dijangka dipengerusikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan polemik yang tercetus selepas arahan parti supaya ahlinya mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan surat jemputan yang dilihat media, notis mesyuarat dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada barisan kepimpinan tertinggi parti, termasuk Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Negeri serta Ketua Sidang As-Sabiqun Pusat.

Surat berkenaan turut menetapkan kehadiran semua jemputan sebagai “wajib syarie”, sekali gus memberi bayangan bahawa mesyuarat itu membincangkan perkara yang dianggap penting kepada hala tuju parti.

Walaupun PAS sebelum ini mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu pada awal bulan ini, kedua-dua parti masih kekal berada di bawah payung Perikatan Nasional bersama Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan PEJUANG.

Dalam rundingan agihan kerusi PN bagi PRN Johor minggu lalu, kesemua parti komponen mencapai persetujuan pembahagian kerusi dengan Bersatu bertanding di 16 kerusi, PAS (11), MIPP (lima) dan PEJUANG (satu), menjadikan keseluruhannya 33 kerusi yang ditandingi gabungan itu.

Namun, hubungan antara PAS dan Bersatu kembali menjadi perhatian apabila Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mengarahkan ahli serta penyokong parti memberikan undi kepada calon UMNO-BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.

Arahan itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Bersatu kerana dilihat bercanggah dengan semangat kerjasama dalam PN, sekali gus menjadikan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini dinanti-nantikan bagi menentukan pendirian rasmi parti menjelang hari pengundian PRN Johor.

BBerkaitan

Latest articles