KUALA LUMPUR: Peguam kanan Datuk Hisyam Teh Poh Teik menzahirkan keyakinan bahawa Mahkamah Persekutuan akan mengekalkan keputusan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila rayuan akhir pihak pendakwaan diputuskan esok.
Memetik laporan Berita Harian hari ini, beliau berkata, pendirian pihak pembelaan adalah berasaskan fakta serta peruntukan undang-undang, selain berpandangan rayuan pendakwaan sepatutnya ditolak memandangkan Mahkamah Rayuan sebelum ini telah memberikan penghakiman yang kukuh.
“Rayuan pihak pendakwaan sepatutnya ditolak. Tambahan pula, Mahkamah Rayuan sudah memberikan penghakiman yang sangat kukuh,” katanya.
Keputusan rayuan itu akan ditentukan panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU selepas mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 2023.
Keputusan esok bakal menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan itu kekal bebas atau berdepan hukuman jika rayuan pendakwaan dibenarkan.
Sekiranya sabitan dikekalkan, beliau juga berisiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan calon pilihan raya mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.










