BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai pemangkin kebangkitan parti selepas melalui tempoh mencabar sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lapan tahun lalu.
Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan itu bukan sahaja penting bagi mengembalikan kekuatan parti, malah bagi memastikan Johor terus kekal sebagai kubu kuat BN.
Beliau berkata, seluruh jentera parti perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memastikan setiap calon BN berjaya memperoleh kemenangan tanpa bersikap terlalu yakin atau angkuh.
“Kita mesti menangkan calon-calon kita terlebih dahulu. Dengan izin Allah, kebangkitan UMNO dan BN akan bermula dari bumi Johor yang bertuah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan Parit Raja di Batu Pahat, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri serta calon BN DUN Parit Raja, Rashidah Ramli.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menggesa semua pihak mengamalkan persaingan politik secara sihat sepanjang kempen PRN Johor, sambil menyindir tindakan yang didakwa menyekat kempen parti termasuk di kawasan FELDA dan platform media sosial.
Menurut beliau, pertandingan seharusnya berlangsung secara adil tanpa sebarang halangan terhadap mana-mana pihak.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini menjadi faktor utama negeri itu terus menjadi pilihan pelabur tempatan dan asing.
Beliau turut mengiktiraf sumbangan kepimpinan terdahulu dalam membangunkan Johor, namun menyifatkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai luar biasa.
Katanya, pentadbiran sedia ada berjaya memastikan negeri itu berada dalam keadaan stabil dengan isu-isu besar dapat ditangani secara berkesan.
Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO yang menyambut ulang tahun penubuhan ke-80 pada Mei lalu kekal sebagai sebuah parti yang mewakili seluruh rakyat Malaysia, bukannya sebuah parti yang dimiliki kelompok tertentu.
Sementara itu, ketika ditemui selepas program berkenaan, Ahmad Zahid berkata perjalanan kempen PRN Johor setakat hari kedua berlangsung dalam suasana positif tanpa menyaksikan serangan peribadi atau isu sensitif dimainkan oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, jika pendekatan matang itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian, ia akan mewujudkan suasana pilihan raya yang lebih harmoni serta memberi ruang kepada pengundi membuat pilihan berdasarkan tawaran dan dasar yang dibawa setiap parti.
Beliau turut berharap segala usaha yang digerakkan oleh jentera BN sepanjang kempen akan membuahkan kejayaan pada hari pengundian nanti.










