Zahid: Tiada Tindakan Tatatertib Terhadap Puad, UMNO Ucap Selamat Maju Jaya

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu tidak akan mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi susulan keputusan beliau meninggalkan UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan disiplin tidak lagi relevan memandangkan Mohd Puad sendiri telah memilih untuk menamatkan keahliannya dalam parti.

“Beliau telah berhenti, jadi tidak perlu sebarang tindakan tatatertib diambil. Beliau sendiri telah menawarkan diri untuk tidak lagi bersama UMNO.

“Kita menghargai segala sumbangan beliau kepada UMNO selama ini dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Kali Ke-25 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Mohd Puad mengumumkan pengunduran daripada UMNO dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dipengaruhi pihak istana.

Keputusan itu dibuat hanya sehari selepas beliau memberi bayangan akan membuat pengumuman penting pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebelum ini, Mohd Puad yang tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit mempersoalkan proses pemilihan calon Barisan Nasional (BN) selepas mendakwa menemui beberapa perkara yang dianggap tidak kena dalam senarai calon parti itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan tindakan Mohd Puad dipercayai berpunca daripada kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di kerusi DUN Rengit.

Mohd Puad bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dengan menegaskan keputusan meninggalkan UMNO dibuat sebagai tanda protes terhadap sistem pemilihan calon BN, selain menggesa Asyraf Wajdi menjelaskan beberapa isu berkaitan proses pemilihan calon bagi PRN Johor.

BBerkaitan

Latest articles