JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan atau pertembungan calon antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen gabungan itu telah dimuktamadkan lebih awal, sekali gus memastikan kedua-dua parti bertanding di kawasan yang berbeza.
Menurut beliau, penggunaan logo PN oleh PAS dan Bersatu juga tidak akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi kerana tiada persaingan sesama sendiri di mana-mana kerusi yang ditandingi gabungan tersebut.
“PAS menggunakan logo PN dan begitu juga Bersatu. Tidak timbul isu pengundi keliru kerana PAS tidak bertanding menentang Bersatu dalam mana-mana kerusi PN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Calon PAS yang mewakili PN bagi PRN Johor di Laman Muafakat, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Samsuri turut menegaskan PAS sentiasa bersikap terbuka untuk menerima keanggotaan baharu, termasuk jika bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berhasrat menyertai parti itu.
Naib Presiden PAS itu berkata, keputusan untuk menyertai PAS bergantung sepenuhnya kepada individu berkenaan, namun parti tersebut tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bersama perjuangannya.
“Terpulang kepada individu sama ada mahu menyertai PAS atau membuat pilihan lain. Apa yang pasti, pintu PAS sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika landskap politik Johor semakin hangat menjelang hari pengundian, dengan beberapa perkembangan melibatkan tokoh politik utama negara terus menjadi perhatian.










