KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mempertahankan tindakannya mencadangkan anaknya sebagai calon pilihan raya sambil menegaskan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu.
Menurut beliau, seseorang yang telah dilatih dan dipersiapkan untuk berkhidmat dalam politik berhak diberikan peluang, termasuk anaknya sendiri.
“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu menjadi isu? Jika tidak dibenarkan, mengapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom?” katanya dalam satu kenyataan.
Puad turut mengibaratkan situasi itu seperti seorang jurulatih yang melatih atlet sehingga bersedia sebelum diturunkan ke gelanggang pertandingan.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa tindakannya meninggalkan parti berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana anaknya tidak dipilih sebagai calon.
Sebaliknya, Puad menegaskan bantahannya lebih tertumpu kepada proses pemilihan calon yang didakwanya tidak bebas serta dipengaruhi pihak tertentu dalam UMNO Johor.
Beliau turut mempersoalkan pemilihan Alwiyah Talib sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau selepas bekas ADUN Bersatu itu kembali menyertai UMNO.
“Kenapa Alwiyah yang baru kembali ke UMNO dipilih sebagai calon dalam tempoh singkat? Siapa yang bertanggungjawab terhadap keputusan itu?” soalnya.
Menurutnya, keputusan tersebut turut mengetepikan kepimpinan muda parti termasuk Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri Mersing serta Ketua Pemuda Mersing.
Puad turut membangkitkan isu pengguguran bekas ADUN Tiram, Azizul Bachok, yang menurutnya digantikan pada saat akhir oleh Senator Datuk Halim Sulaiman.
“Azizul masih muda dan baru sepenggal menjadi wakil rakyat. Namun beliau digugurkan dan digantikan dengan calon berusia 64 tahun. Tidakkah itu satu bentuk kronisme?” katanya.
Beliau menegaskan bantahannya bukan bersifat peribadi, sebaliknya sebagai protes terhadap sistem pemilihan calon yang dianggap tidak telus.
“Maka sistem pemilihan calon itulah yang saya bantah. Apabila suara saya tidak diendahkan, apa lagi pilihan yang saya ada?
“Parti semakin menjadi milik eksklusif pihak tertentu. Sebab itu saya memilih tindakan ‘kamikaze’ bagi menyedarkan kepimpinan,” katanya.










