MUAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan beliau meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh pada Khamis, yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor itu menjelaskan keputusan berkenaan dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak.
Dalam masa sama, Abd Mutalip mengesahkan beliau akan mewakili Perikatan Nasional (PN) sebagai calon bagi kerusi DUN N27 Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurutnya, keputusan untuk kembali bertanding dibuat selepas menerima banyak permintaan daripada penduduk dan penyokong di kawasan berkenaan yang mahu beliau terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, isu perwakilan dalam kalangan pengundi Melayu di Layang-Layang turut menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan oleh masyarakat setempat, memandangkan komposisi pengundi Melayu di kawasan itu mencecah hampir 60 peratus.
Walaupun mengakui sudah lama berehat daripada arena politik pilihan raya, Abd Mutalip berkata beliau terpanggil untuk kembali bertanding demi memenuhi harapan pengundi serta meneruskan perjuangan yang dianggap penting kepada masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau menegaskan penghijrahannya ke Bersatu bukan berpunca daripada konflik atau rasa tidak puas hati terhadap UMNO.
Katanya, hubungan beliau dengan pimpinan UMNO termasuk Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kekal baik dan keputusan berkenaan dibuat atas pertimbangan politik semasa serta keinginannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Menurut Abd Mutalip, parti politik hanyalah medium untuk memberi khidmat kepada masyarakat, dan beliau memilih haluan baharu yang diyakini mampu membolehkannya meneruskan usaha membela kebajikan rakyat dengan lebih berkesan.










