Istiadat Kejadian Undang Luak Rembau Dijadual Sabtu, Hassan Ab Hamid Dipilih Sebagai Penyandang Ke-22

SERI MENANTI: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengadakan Istiadat Mengadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau pada Sabtu ini, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan rasmi Undang Luak Rembau yang baharu.

Perkara itu dizahirkan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz ketika menerima menghadap rombongan Dato’-Dato’ Adat Luak Rembau di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Menurut baginda, istiadat berkenaan akan berlangsung pada jam 2 petang di Istana Besar Seri Menanti selepas proses pemilihan penyandang Pesaka Dato’ Undang Luak Rembau diselesaikan mengikut adat dan amalan yang diguna pakai di Luak Rembau.

Baginda turut memaklumkan bahawa segala urusan persiapan istiadat boleh diselaraskan bersama Orang Empat Istana bagi memastikan majlis berlangsung dengan lancar.

Terdahulu, rombongan Dato’-Dato’ Adat Luak Rembau menjunjung duli menghadap baginda dengan membawa tepak sireh sebelum titah berkaitan proses pelantikan Undang Luak Rembau baharu dizahirkan.

Istiadat yang bakal berlangsung Sabtu ini merupakan kemuncak kepada proses adat pelantikan Undang Luak Rembau mengikut tradisi Adat Perpatih yang diamalkan sejak sekian lama di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak, Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, kerapatan Buapak dan Ibu Soko Luak Rembau telah mencapai kata sepakat memilih pesara guru, Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau ke-22.

Beliau menegaskan bahawa pemilihan Undang dibuat sepenuhnya mengikut aturan adat, dan bukan berdasarkan pilihan atau kehendak peribadi mana-mana pihak termasuk institusi diraja.

Menurutnya, keputusan memilih Hassan dibuat menerusi dua kerapatan yang menetapkan Kampung Tanjung sebagai benih bagi menzahirkan Undang Luak Rembau yang baharu.

Isu pelantikan Undang Luak Rembau sebelum ini menjadi perhatian susulan kekosongan jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman, meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei tahun lalu.

Di Negeri Sembilan, pemilihan Undang dibuat dalam kalangan calon daripada Suku Biduanda, iaitu suku asal negeri itu, yang menjadi sebahagian daripada sistem Adat Perpatih yang merangkumi 12 suku keseluruhannya.

BBerkaitan

Latest articles