KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil menolak dakwaan bahawa keputusan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meninggalkan parti berpunca daripada campur tangan istana dalam politik Johor.
Sebaliknya, beliau mendakwa tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mempunyai kaitan dengan kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.
Menurut Asyraf, Puad sebelum ini pernah menghantar surat kepadanya yang antara lain memberi bayangan akan keluar parti dan mengkritik UMNO secara terbuka sekiranya kepimpinan tertinggi tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon bagi kerusi DUN Rengit.
Beliau berkata, meskipun berasa sedih dengan keputusan Puad meninggalkan UMNO, beliau kesal apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mengemukakan alasan yang disifatkannya sebagai tidak berasas.
“Asas utama yang digunakan untuk keluar parti ialah dakwaan kononnya Istana menguasai UMNO Johor sehingga membawa kepada pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu. Hakikatnya, beliau sendiri pernah menulis kepada saya dan memberi amaran akan keluar parti serta menyerang UMNO jika anaknya tidak dipilih sebagai calon,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Asyraf menjelaskan beliau tidak menafikan anak Puad mempunyai potensi dalam politik, namun proses pemilihan calon tidak boleh dibuat berdasarkan kehendak individu semata-mata kerana banyak faktor lain perlu dipertimbangkan demi kepentingan parti.
Katanya, tindakan meletakkan syarat supaya anak sendiri dipilih sebagai pengganti di kawasan yang pernah diwakili adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin berpengalaman.
“Lebih mengecewakan apabila syarat tersebut disertakan dengan ugutan untuk keluar parti dan menyerang UMNO jika kehendaknya tidak dipenuhi,” katanya.
Dalam masa sama, Asyraf turut mendakwa insiden seumpama itu bukan kali pertama berlaku. Menurutnya, Puad pernah mengugut untuk meninggalkan UMNO ketika era kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.
“Cukuplah UMNO diugut dengan cara sedemikian. UMNO bukan parti yang mengamalkan politik warisan keluarga atau mengutamakan kepentingan anak-beranak dalam menentukan kepimpinan,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa perjuangan UMNO tidak boleh dikorbankan demi memenuhi tuntutan peribadi mana-mana individu kerana kepentingan parti dan ahlinya jauh lebih besar daripada agenda keluarga.
Terdahulu, Puad mengumumkan peletakan jawatan serta-merta daripada UMNO dengan mendakwa parti itu di Johor tidak lagi mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan, sebaliknya terikat kepada pengaruh pihak tertentu.
Beliau turut mengkritik Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan mendakwa pemimpin itu hanya menurut arahan pihak tertentu dalam menentukan hala tuju politik negeri berkenaan.










