Puad Umum Keluar Parti, Dakwa UMNO Johor Dikawal Istana


​KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengejutkan landskap politik tanah air apabila mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.

​Keputusan drastik itu dibuat susulan dakwaan beliau bahawa UMNO Johor kini tidak lagi bebas membuat keputusan, sebaliknya didakwa berada di bawah kawalan pihak Istana.

​Mohd Puad menerusi satu kenyataan hari ini menegaskan, langkah berkenaan diambil bagi membolehkan beliau bebas menyatakan pandangan tanpa perlu berdepan tuduhan mengkhianati parti.

​”Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta-merta mulai hari ini, 25 Jun 2026. Oleh itu, UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang,” katanya.

​Mengulas lanjut, Mohd Puad mendakwa mempunyai bukti jelas berhubung campur tangan berkenaan, termasuk pengakuan yang didakwa dibuat sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu pertemuan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Saujana, Ahad lalu.

​”Beliau (Onn Hafiz) memaklumkan kepada saya bahawa pihak Istana yang menitahkan kepada beliau agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026.

​”Banyak lagi contoh lain Onn Hafiz hanya ‘pak turut’. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat. Saya perlu melakukan keberanian politik mendedahkan perkara ini sebelum menjadi parah,” dakwanya lagi.

​Dalam pada itu, Mohd Puad turut menepis tohmahan pihak tertentu yang berkemungkinan akan menuduh tindakan beliau keluar parti adalah demi kepentingan peribadi.

​Sebaliknya, beliau mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin kanan lain seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Noh Omar yang memilih untuk kembali menyertai UMNO ketika parti itu dilihat sedang mengukuhkan kedudukan untuk bertanding secara solo di 56 kerusi.

​Beliau juga secara lantang mengkritik kepimpinan sedia ada yang disifatkannya sebagai ‘pengecut politik’ sehingga menyebabkan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) dikritik hebat.

​”Saya tidak mahu UMNO dipimpin oleh pengecut politik sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan mediocre (biasa-biasa).

​”Saya sedar saya akan dikecam dan dihina. Mungkin juga keselamatan saya terancam. Tetapi berbekalkan keberanian politik, saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan,” katanya.

​Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan tertinggi UMNO mahupun Pejabat Menteri Besar Johor bagi menyangkal atau mengulas lanjut dakwaan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles