TMJ Tegur Politik ‘Hollywood’, Seru Rakyat Johor Pilih Pemimpin Bukan Kerana Populariti

MUAR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyeru rakyat negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dengan ahli politik yang gemar membina populariti menerusi media sosial, sebaliknya menilai pemimpin berdasarkan keupayaan mereka mentadbir dan membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.

Menurut baginda, kehadiran aktif ahli politik di platform digital bagi berinteraksi dengan masyarakat adalah sesuatu yang boleh difahami.

Namun, rakyat perlu lebih bijak membuat penilaian dan tidak terpedaya dengan imej yang dipaparkan semata-mata.

“Sebagai ahli politik, mereka perlu menonjolkan kerja dan memastikan ada interaksi dengan rakyat melalui media sosial. Itu saya faham. Tetapi sebelum membuat keputusan, lakukan penilaian terlebih dahulu.

“Kita ini banyak ‘Hollywood’, paling ‘Hollywood’ sekali yang dekat Muar. Saya tidak suka ‘Hollywood’. Saya lebih suka individu yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab dan mampu memperbaiki kehidupan rakyat,” titah baginda.

Baginda berkata demikian ketika menjawab soalan seorang anak muda mengenai sama ada generasi muda perlu memilih pemimpin yang popular di media sosial atau mereka yang benar-benar bekerja untuk kepentingan rakyat dalam sesi Podcast Bual Santai Petang bersama Orang Muda Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), kelmarin.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi pengalaman baginda berurusan dengan pihak yang lebih gemar mencari kesalahan orang lain berbanding melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Menurut baginda, menjadi pembangkang dan membangkitkan pelbagai isu adalah perkara yang mudah dilakukan, namun tanggungjawab mentadbir sesebuah organisasi atau kerajaan memerlukan kebolehan serta kecekapan yang tidak dimiliki semua pihak.

“Untuk mencari isu dan mencari salah orang lain memang mudah. Tetapi apabila diberi peluang mentadbir, bukan semua orang mampu melakukannya. Sebab itu rakyat Johor perlu membuat penilaian yang bijak,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda turut menegaskan bahawa keluarga diraja Johor merupakan antara penyumbang terbesar kepada kebajikan Bangsa Johor dengan perbelanjaan melebihi RM100 juta setiap tahun bagi pelbagai program bantuan.

Sumbangan tersebut merangkumi bantuan kepada hospital, tajaan pendidikan, bantuan makanan kepada golongan memerlukan serta tajaan menunaikan ibadah haji.

Bagaimanapun, baginda menegaskan segala usaha kebajikan itu tidak dihebahkan secara meluas di media sosial kerana dilakukan dengan penuh keikhlasan.

“Kamu tidak nampak kami menguar-uarkannya di media sosial kerana perkara itu dilakukan dengan ikhlas,” titah baginda.

BBerkaitan

Latest articles