SPAN Tak Tolak Wujud Pelanggaran SOP Keselamatan Dalam Kematian Pelajar Intern Dalam Tangki Air

KUALA SELANGOR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kematian seorang pekerja ketika melakukan kerja pembersihan kolam perkhidmatan di Kolam Menara Saujana Perdana 1, Kuala Selangor, dan tidak menolak kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung.

Dalam satu kenyataan, SPAN memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 17 Jun lalu sebelum pasukan penyiasat melakukan lawatan ke lokasi sehari kemudian bagi mendapatkan maklumat awal berhubung insiden berkenaan.

Menurut SPAN, kerja-kerja mencuci kolam terbabit dilaksanakan secara berjadual pada 16 Jun oleh syarikat vendor yang dilantik, Myda Risk & Safety Sdn Bhd.

Siasatan awal mendapati paras air ketika kejadian berada pada aras pinggang dan dua pekerja dilaporkan mengalami kesukaran berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 milimeter di dalam kolam tersebut.

“Seorang pekerja berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dipercayai tersangkut di kawasan berkenaan. Mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital UiTM untuk proses bedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Laporan awal mendapati punca kematian dipercayai akibat lemas.

SPAN turut memaklumkan bahawa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pada 17 Jun sebelum mengeluarkan Notis Larangan bagi tujuan siasatan lanjut.

Pada keesokan harinya, satu lawatan susulan melibatkan SPAN, Air Selangor dan JKKP telah diadakan bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada tragedi tersebut.

Dalam lawatan itu, JKKP memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sebelum sebarang kerja berisiko tinggi dilaksanakan.

Semakan awal juga mendapati kontraktor yang terlibat dalam kerja pencucian dan penyelenggaraan kolam berkenaan memiliki permit sah yang didaftarkan dengan SPAN.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu menegaskan siasatan masih diteruskan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) atau peraturan berkaitan, sama ada melibatkan operator Air Selangor mahupun kontraktor terbabit.

Menurut SPAN, maklumat awal menunjukkan kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung, termasuk dakwaan kemasukan pekerja ke kawasan berisiko tanpa kebenaran serta sebelum pengesahan keselamatan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, penentuan punca sebenar kejadian hanya akan dapat disahkan selepas siasatan rasmi dan laporan akhir JKKP disiapkan,” katanya.

Sehubungan itu, SPAN menegaskan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan kekal menjadi keutamaan dalam setiap aktiviti penyelenggaraan infrastruktur air.

Suruhanjaya berkenaan turut berikrar untuk memperkukuh pematuhan SOP, memperketat kawalan kerja di ruang terkurung serta meningkatkan pengawasan terhadap kontraktor dan pengurusan risiko bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles