KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menurut kenyataan SPRM hari ini, siasatan memberi tumpuan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan mamalia berkenaan.
Tiga ekor gajah Asia yang terlibat dalam urusan pemindahan tersebut dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
“SPRM sedang menyiasat dakwaan ketirisan serta meneliti sama ada wujud sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan berkenaan,” kata kenyataan itu.
Siasatan itu dilakukan susulan gesaan daripada pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) pada 18 Jun lepas agar agensi pencegah rasuah itu menyiasat proses pemindahan DAK.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan sebelum ini mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan, selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.
Bagaimanapun, SPRM menegaskan bahawa siasatan berkenaan masih di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh.
“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa program pertukaran hidupan liar yang melibatkan Zoo Taiping dan Zoo Tennoji itu dilaksanakan bagi tujuan pemuliharaan dan pembiakan gajah Asia di Jepun.
Namun pelaksanaannya mula dipertikaikan oleh beberapa kumpulan pencinta alam susulan dakwaan ketidakpatuhan prosedur eksport hidupan liar terlindung serta penglibatan orang tengah yang mengaut keuntungan tidak sah.










