KUALA LUMPUR, 22 Jun — Memorandum berhubung kebajikan tiga ekor gajah Malaysia di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun berjaya diserahkan ke Parlimen hari ini selepas misi larian solo sejauh lebih 230 kilometer yang diketuai Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, tiba di Bangunan Parlimen.
Memorandum berkenaan diterima oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, yang turut mengucapkan tahniah kepada Neow atas kejayaannya menamatkan misi larian dari Taiping ke Parlimen.
Turut hadir ialah Senator Dewan Negara, Datuk Ng Keng Heng.
Menurut Wee, memorandum itu akan dijadikan asas untuk membawa isu kebajikan tiga gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat kepada perhatian kerajaan.
Antara tuntutan utama yang dikemukakan ialah penubuhan Pasukan Bertindak Khas (Special Task Force) yang melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan PERHILITAN, Kerajaan Negeri Perak, Majlis Perbandaran Taiping (MPT), pakar veterinar, pakar konservasi, pakar tingkah laku gajah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan haiwan serta wakil masyarakat sivil bagi menyelaras usaha memantau kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan.
Selain itu, memorandum tersebut turut menggesa kerajaan menghantar misi penilaian bebas ke Jepun, mendedahkan kandungan perjanjian pemindahan gajah selama 25 tahun, menyemak semula dasar pemindahan hidupan liar ke luar negara serta mewujudkan pelan kontingensi bagi membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat sekiranya didapati kebajikan mereka tidak memenuhi piawaian sewajarnya.
Sementara itu, Neow berkata memorandum berkenaan bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak atau mencetuskan ketegangan diplomatik, sebaliknya merupakan gesaan supaya Malaysia terus memikul tanggungjawab terhadap kebajikan hidupan liar yang berasal dari negara ini.
“Ini bukan isu politik. Ini isu kebajikan haiwan yang juga berhak hidup dengan baik. Jika bukan kita yang membela mereka, siapa lagi?” katanya.
Sepanjang perjalanan ke Parlimen pagi ini, misi Neow turut mendapat liputan secara langsung menerusi siaran radio Hot FM yang mengikuti perkembangan larian tersebut sejak bermula di Taiping.
Penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin, AG dan Johan turut berjalan bersama sebagai tanda sokongan terhadap usaha membawa suara rakyat mengenai kebajikan Dara, Amoi dan Kelat ke Parlimen, selain berharap isu tersebut dapat dibahaskan di peringkat kerajaan.
Turut menyertai perjalanan pagi ini ialah bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, Nurul Hidayah Ahmad Zahid, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang hadir menyatakan solidariti terhadap kempen berkenaan.
Neow turut merakamkan penghargaan kepada Hot FM serta para pendengar yang sentiasa memberikan sokongan moral sepanjang misi tersebut.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hot FM, para penyampai dan semua pendengar yang tidak putus-putus memberikan semangat kepada saya. Walaupun sasaran asal sekitar 220 kilometer, akhirnya saya berjaya menamatkan lebih kurang 230 kilometer.
“Tanpa sokongan semua, misi ini tidak mungkin berjaya. Harapan kami supaya suara rakyat mengenai kebajikan Dara, Amoi dan Kelat dapat dibawa ke Parlimen dan dibincangkan dengan serius,” katanya.










