GAGASAN Pilih Kepimpinan Baharu, Mahu Kembalikan Pidato Rukun Negara, Olympiad Pendidikan

KUALA LUMPUR: Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) mengorak langkah baharu dalam memperkukuh agenda pendidikan negara apabila mengumumkan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026 hingga 2029 pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) Kali Ke-13 yang berlangsung di Hotel Asto, hari ini.

Persidangan yang menghimpunkan ahli-ahli dari seluruh negara itu turut menjadi platform membincangkan pelbagai isu semasa pendidikan serta hala tuju organisasi dalam mendepani cabaran pendidikan masa depan.

Dalam pemilihan yang berlangsung, para perwakilan sebulat suara memilih Datuk Syed Anuar Syed Mohamad sebagai Presiden GAGASAN yang baharu, manakala jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Dato’ Roslan Ariffin.

Ketika menyampaikan ucapan sulungnya, Syed Anuar menegaskan komitmen GAGASAN untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan sistem pendidikan negara melalui pendekatan yang lebih strategik dan berorientasikan penyelesaian.

Menurut beliau, organisasi itu akan mempergiat usaha mengenal pasti pelbagai isu pendidikan semasa sebelum mengemukakan cadangan serta tindakan konstruktif bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal berkualiti, relevan dan mampu memenuhi tuntutan masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan pengaktifan semula program Pidato Rukun Negara yang dilihat sebagai medium penting untuk memupuk nilai jati diri, patriotisme dan integriti dalam kalangan generasi muda.

Katanya, program berkenaan diharap dapat menyemarakkan semula penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara sebagai asas pembentukan masyarakat yang berakhlak, bertanggungjawab dan cintakan negara.

Selain itu, GAGASAN juga akan meneruskan penganjuran Olympiad Pendidikan di seluruh negara sebagai platform mencungkil bakat serta potensi pelajar dalam pelbagai bidang akademik.

Inisiatif tersebut diyakini mampu membantu meningkatkan pencapaian pelajar Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya dalam penilaian seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam arena pendidikan global.

Persidangan itu turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memperjuangkan pendidikan Melayu serta menyokong pembangunan pendidikan negara secara menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles