KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia bermula bulan depan menerusi mekanisme penyasaran subsidi baharu yang menggunakan pengesahan MyKad.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan beliau ke Bintulu, Sarawak hari ini. Langkah tersebut dilaksanakan melalui pembaharuan sistem subsidi diesel yang akan diseragamkan di seluruh negara, selari dengan pendekatan yang digunakan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sistem baharu itu membolehkan subsidi disalurkan terus kepada rakyat Malaysia yang layak, manakala warga asing dan pihak yang tidak memenuhi syarat perlu membeli diesel pada harga pasaran tanpa subsidi.
Menurut kementerian itu, pendekatan berasaskan MyKad akan memastikan semua rakyat Malaysia menikmati harga dan kaedah pembelian yang sama tanpa mengira lokasi, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian subsidi.
Katanya, pelaksanaan reformasi tersebut juga penting ketika ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat terus memberi tekanan terhadap bekalan minyak global.
Keadaan itu menuntut langkah lebih berkesan bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.
Kementerian menjelaskan bahawa jurang besar antara harga diesel bersubsidi dan harga pasaran ketika ini telah membuka ruang kepada aktiviti penyelewengan serta penyeludupan bahan api, termasuk ke negara jiran, yang menyebabkan ketirisan besar kepada kerajaan.
Pada masa ini, diesel dijual pada harga RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung mencecah RM4.37 seliter.
Melalui pelaksanaan sistem baharu itu, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan mekanisme yang digunakan di Semenanjung.
Sementara rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak bakal menikmati penurunan harga daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.
Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu dijangka diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, esok.










