APM Latih 18 Sukarelawan Orang Asli Pos Lenjang Jadi ‘Benteng Awal’ Bencana

​KUALA LIPIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berhasrat untuk mewujudkan pangkalan hadapan (forward base) di Pos Lenjang bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan komuniti Orang Asli dalam menghadapi sebarang situasi bencana.

​Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, program latihan yang dijalankan di kawasan ini merupakan projek rintis (pilot project) pertama agensi itu yang melibatkan komuniti Orang Asli, hasil daripada inisiatif CDA Briged Kazuko.

​Sebagai langkah awal bagi projek rintis berkenaan, seramai 18 sukarelawan Orang Asli dari kawasan tersebut telah berjaya ditauliahkan selepas menamatkan latihan asas pertahanan awam.

​Beliau menjelaskan bahawa penubuhan pangkalan hadapan itu amat diperlukan memandangkan kedudukan geografi penempatan tersebut yang agak pedalaman dan mengambil masa yang lama untuk dihubungi oleh pasukan penyelamat dari luar.

​”Dengan latihan yang diberikan ini, kita berharap sekiranya berlaku apa-apa bencana dalam skala yang kecil, penduduk Orang Asli yang telah kita latih di sini dapat mengambil langkah awal untuk memberikan bantuan sebelum pasukan penyelamat tiba.

​”Malah, saya difahamkan penduduk di sini juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyediakan kawasan tanah bagi tujuan pembinaan forward base tersebut,” katanya selepas sesi latihan dan pentauliahan sukarelawan Orang Asli di Pos Lenjang, pada Sabtu.

​Mengulas lanjut mengenai projek rintis hasil inisiatif CDA Briged Kazuko itu, Ismail berkata APM merancang untuk memperluaskan program ini ke penempatan Orang Asli yang lain di seluruh negara, tertakluk kepada kesesuaian dan penilaian praktikal dari semasa ke semasa.

​”Masyarakat Orang Asli sebenarnya sudah mempunyai pengetahuan dan pengalaman ikhtiar hidup yang sangat baik.

“Namun, melalui program ini, APM bertindak menambah nilai kemahiran sedia ada mereka dengan menyuntik ilmu pertahanan awam yang lebih sistematik, seperti teknik menyelamat di air dan bantuan kecemasan, di samping sokongan peralatan yang bersesuaian,” katanya.

​Selain daripada pengisian modul latihan, program tersebut turut digunakan oleh APM untuk menyantuni masyarakat setempat melalui aktiviti khidmat komuniti.

​Menurut Ismail, pihak APM bersama rakan strategik, turut menyalurkan bantuan kebajikan ke Pos Lenjang dan Pos Titom serta mengadakan sesi pemeriksaan kesihatan ringkas secara percuma buat penduduk kampung di pos berkenaan.

​Beliau dalam masa sama turut menyeru penglibatan lebih ramai generasi muda untuk menyertai APM bagi melengkapkan diri dengan ilmu menyelamat, sekali gus mampu menjadi benteng awal dalam melindungi nyawa dan harta benda komuniti masing-masing ketika kecemasan.

Sementara itu, Komandan CDA Briged Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid menyifatkan projek perintis kali ini sebagai satu lonjakan dan pembaharuan bermakna bagi brigednya walaupun ia merupakan siri program yang keempat dilaksanakan.

Jelasnya, ini adalah kali pertama APM berjaya menyuntik semangat dan mentauliahkan masyarakat Orang Asli sebagai sukarelawan anggota penyelamat, buat kali pertama.

​”Program pada hari ini adalah satu program yang sangat berjaya bagi saya kerana kita mendapat sokongan yang sangat padu, terutamanya daripada kepimpinan APM, bahagian operasi, bahagian latihan, serta kerjasama daripada APM Negeri Pahang dan Kelantan.

​Intan berkata program komuniti berimpak tinggi seperti ini akan dijadikan sebagai acara tahunan APM bagi mengembangkan lagi manfaat projek rintis ini.

BBerkaitan

Latest articles