TMJ: Johor Bukan Bocor Sendiri, Putrajaya Punca Negeri Hilang Berbilion Hasil Setiap Tahun

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Ismail memberi teguran terbuka terhadap Kerajaan Persekutuan apabila mendakwa Johor tidak menerima pulangan hasil yang setimpal meskipun menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

Pemangku Sultan Johor itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri yang sebelum ini menyifatkan Johor sebagai negeri kaya, namun berdepan pelbagai ketirisan.

Menurut baginda, jika benar berlaku ‘kebocoran’, ia bukan berpunca daripada negeri semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan sistem pengagihan hasil yang didakwa tidak memihak kepada Johor.

“Sahabat saya, Perdana Menteri, ada menyebut Johor negeri kaya tetapi banyak bocor. Ya, memang banyak bocor. Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor,” titah baginda dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor pada Sabtu.

Baginda menjelaskan pandangan itu lahir daripada pengalaman sendiri melihat pelbagai projek pembangunan negeri yang menurutnya berdepan kelewatan dan kekangan birokrasi di peringkat Persekutuan.

Tunku Mahkota Ismail turut mempersoalkan kewajaran Johor yang menyumbang lebih RM40 bilion hasil kepada Kerajaan Persekutuan setiap tahun tetapi hanya menerima semula sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menguruskan keperluan hampir lima juta penduduk negeri itu.

Menurut baginda, jumlah yang dipulangkan itu tidak mencerminkan sumbangan sebenar Johor kepada negara dan menyukarkan usaha mempercepatkan pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Baginda berpandangan sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus daripada hasil yang dijana di Johor perlu dikembalikan kepada negeri bagi membolehkan lebih banyak projek rakyat dilaksanakan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kelulusan pusat.

Dalam masa sama, baginda menyuarakan rasa kecewa apabila isu asas seperti pembaikan sekolah, jalan raya dan kemudahan kesihatan mengambil masa panjang untuk diselesaikan kerana proses kelulusan yang berlarutan.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah kelewatan berkaitan Hospital Pasir Gudang, kekurangan tenaga perubatan serta status pembinaan Hospital Sultanah Aminah II yang masih belum dimuktamadkan.

Baginda mendedahkan Hospital Pasir Gudang hampir tidak diteruskan sebelum usaha berterusan selama beberapa tahun dilakukan bagi memastikan projek itu akhirnya dapat disiapkan dan dibuka kepada rakyat.

Namun begitu, baginda berkata kemudahan tersebut masih berdepan masalah kekurangan doktor dan kakitangan sehingga memberi kesan kepada mutu perkhidmatan kesihatan.

“Siapa yang menanggung kesusahan? Rakyat yang menanggung kesusahan,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa tuntutan agar Johor menerima pulangan hasil yang lebih adil bukan bertujuan mencetuskan konflik dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya demi memastikan pembangunan negeri dapat dipercepatkan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Baginda berkata Johor mahu dilayan sebagai rakan strategik yang menyumbang besar kepada negara, sambil berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian lebih serius terhadap keperluan rakyat serta masa depan pembangunan negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles