“Jangan Cakap Bukan-Bukan” – TMJ Pertahan Prestasi Kerajaan Johor

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak boleh sewenang-wenangnya dilabel gagal kerana setiap aspek pentadbiran negeri sentiasa berada di bawah pemantauan rapi baginda.

Malah, baginda mendedahkan pemantauan itu dilakukan secara berterusan sehingga ada kalanya menghubungi pegawai tertinggi kerajaan negeri pada awal pagi bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu yang masih belum diselesaikan.

Menurut baginda, tuduhan bahawa kerajaan negeri mengabaikan kebajikan rakyat atau gagal menjalankan tugas adalah tidak berasas kerana pelbagai usaha dan inisiatif sedang dilaksanakan demi kepentingan masyarakat.

“Jangan datang dan membuat dakwaan bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dijaga atau kerajaan tidak bekerja. Saya sendiri memantau kerajaan saya dan memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan,” titah baginda dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor pada Sabtu.

Tunku Mahkota Ismail berkata, setiap dasar, projek dan keputusan kerajaan negeri dipantau secara dekat bagi memastikan ia bukan sekadar diumumkan, sebaliknya benar-benar dilaksanakan serta memberi manfaat kepada rakyat.

Baginda menjelaskan, sekiranya terdapat perkara yang masih tertangguh, penjelasan akan diminta terus daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sampai ada ketika pukul tiga pagi saya telefon dan bertanya mengapa sesuatu perkara masih belum disiapkan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menekankan bahawa Johor memerlukan kepimpinan yang mampu menterjemahkan visi kepada tindakan, bukannya sekadar bergantung kepada retorik politik, janji manis atau cerita yang tidak berpijak pada realiti.

Baginda turut mengingatkan bahawa sesuatu visi hanya akan membawa makna apabila disertakan dengan pelaksanaan yang berkesan.

“Visi tanpa pelaksanaan hanyalah satu halusinasi,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, rakyat perlu membuat penilaian terhadap sesebuah kerajaan berdasarkan rekod prestasi, keberkesanan pentadbiran dan hasil yang berjaya dicapai, bukannya hanya mendengar dakwaan atau janji politik.

Tunku Mahkota Ismail turut berpandangan bahawa menjadi pembangkang dan mencari kelemahan kerajaan adalah tugas yang mudah, namun mentadbir serta memikul amanah rakyat memerlukan keupayaan dan kebolehan yang tidak dimiliki semua pihak.

“Apabila diberi peluang mentadbir, tidak semua orang mampu melaksanakannya dengan baik,” titah baginda.

BBerkaitan

Latest articles