Turkmenistan Tawar Telaga Minyak, Gas Terbesar Kepada Petronas – Anwar

​SEREMBAN: Kerajaan Turkmenistan sedia menawarkan salah satu telaga minyak dan gas terbesar di negara berkenaan untuk diterokai oleh syarikat petroleum nasional, Petronas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendedahkan tawaran strategik itu dinyatakan sendiri oleh kerajaan Turkmenistan sebagai tanda hubungan diplomatik yang akrab dengan Malaysia.

​”Dia (kerajaan Turkmenistan) kata kalau PM Anwar sampai, kami akan sedia di antara telaga minyak gas besar untuk Petronas dan untuk Malaysia.

​”Ini maknanya persahabatan. Ini maknanya menggunakan waktu dan ruang sebaiknya, menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban, malam tadi.

​Mengulas mengenai faktor yang menyumbang kepada keyakinan negara luar terhadap Malaysia, Anwar menegaskan bahawa kestabilan politik dan ketiadaan pergolakan kuasa menjadi kunci utama yang menarik minat pelabur asing.

​Beliau berkata limpahan pelaburan bertaraf global itu kini mula melonjakkan pembangunan ekonomi di negeri-negeri strategik termasuk Johor dan Negeri Sembilan.

​”Sebab apa (pelabur datang)? Politik stabil! Tak ada rebut, tak ada terajang kawan-kawan, tak ada nak tebuk atap, tak ada nak rampas kuasa sebelum tempoh… Sebab itu negeri ini bangkit,” jelas beliau.

​Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pimpinan bahawa kestabilan politik yang membuahkan hasil ekonomi dan pelaburan asing ini akhirnya mesti diterjemahkan kepada agenda memelihara kebajikan rakyat.

​”Tiap kali ada rundingan Persekutuan dengan negeri, tajuk pertama apa? Selesai masalah miskin tegar. Masalah kedua, penjaja dan peniaga kecil. Masalah ketiga, pendapatan rakyat dan perumahan mereka,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles