ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) sedia menyahut cabaran mana-mana pihak lawan yang mempertikaikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor serta tindakan gabungan itu untuk bertanding secara solo.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, BN tidak gentar dengan tindak balas pihak lawan yang dilaporkan mahu meletakkan calon di kesemua kerusi sebagai respons kepada strategi BN Johor.
Malah, beliau secara terbuka menyatakan kesediaan gabungan itu untuk berdepan dengan pencabar mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti.
”Ada pihak di sebelah sana mempersoalkan hal kita membubarkan DUN Johor. Ada yang berkata BN bermain sandiwara politik. Malah, ada yang menyatakan jika Johor bertanding 56 kerusi, mereka juga akan bertanding di kesemua kerusi.
”Ya, silakan. Kita jumpa di gelanggang,” katanya dengan tegas.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan amanat sempena Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju perjuangan parti, Ahmad Zahid mengumumkan gagasan ‘Rumah Bangsa’ sebagai usaha menyatukan semula orang Melayu dan meletakkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi bagi agenda berkenaan.
Jelas beliau, UMNO merupakan rumah asal bagi politik serta wadah perjuangan orang Melayu yang telah banyak melahirkan pelbagai cabang parti politik lain sebelum ini.
”Sejauh mana pun cabang itu tumbuh, akarnya tetap bermula dari tanah yang sama. Di Johor, Rumah Bangsa ini bukan sekadar slogan, ia lambang penyatuan, warisan perjuangan, dan wadah yang memberi kestabilan serta memayungi Bangsa Johor dengan keikhlasan.
”Rumah ini jangan dibiarkan retak, jangan dibiarkan dimasuki muslihat, dan jangan dibiarkan tergoncang oleh politik khianat. Bumbungnya ialah kesatuan, tiangnya kesetiaan, lantainya perjuangan, dan dindingnya adalah pengorbanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyindir sebuah parti serpihan yang disifatkannya hanya mula bercakap tentang soal penyatuan selepas wadah politik mereka sendiri mula runtuh.
Tanpa menamakan parti tersebut, Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa kepimpinan parti itu juga sudah mula ditolak oleh orang Johor sendiri.
”Hanya selepas tiang pondok mereka dimakan anak-anak, atap mulai bocor, dan dinding rumah mereka mulai reput. Ada orang Johor yang jadi presiden (parti itu), tetapi orang Johor pun tak percaya pada dia.
”Namun, pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas kepada mereka yang mahu kembali dengan penuh keikhlasan demi penyatuan umat dan kekuatan Bangsa Johor. Masukilah dengan adab, kesopanan, dan niat memperkukuhkan perjuangan. Yang sudah itu, sudah,” katanya lagi.
Beliau turut menambah, pembubaran DUN Johor serta Negeri Sembilan yang berlaku secara serentak membuktikan bahawa langkah itu dibuat atas keperluan politik semasa.
Katanya, gandingan pemimpin lama dan baharu dalam PRN kali ini diyakini mampu mengembalikan semula negeri Johor sebagai tapak permulaan penyatuan negara bangsa.










