Malaysia Pertahan Kepentingan Dagang, Terus Runding Tarif AS

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani isu tarif timbal balas dan tindakan perdagangan yang dikenakan terhadap negara ini, sambil mempertahankan rekod industri serta pematuhan standard buruh antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia kini berdepan beberapa langkah perdagangan AS, termasuk tarif sementara 10 peratus yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 dan dijadual tamat pada 24 Julai 2026.

Menurut beliau, selepas Mahkamah Agung AS membatalkan penggunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) bagi pelaksanaan tarif terdahulu, Washington beralih kepada peruntukan lain sebelum memulakan siasatan di bawah Seksyen 301 yang meneliti isu kapasiti berlebihan dan buruh paksa.

Johari berkata, Malaysia telah menjelaskan kepada pihak AS bahawa sektor pembuatan negara beroperasi mengikut prinsip pasaran dan tidak mempunyai masalah kapasiti pengeluaran berlebihan seperti yang didakwa.

Dalam masa sama, Malaysia turut menegaskan komitmen terhadap pematuhan piawaian buruh antarabangsa serta menolak sebarang bentuk buruh paksa melalui undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan sedia ada.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat ruang penambahbaikan dalam aspek pemantauan produk import yang mungkin dihasilkan menggunakan buruh paksa di negara asal.

Katanya, kerajaan kini meneliti pendekatan lebih bersasar bagi memastikan hanya syarikat yang mematuhi standard buruh antarabangsa dibenarkan menyertai rantaian bekalan negara, sekali gus mengukuhkan integriti perdagangan Malaysia di peringkat global.

BBerkaitan

Latest articles