KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam keras rancangan terbaru rejim Zionis Israel yang diumumkan baru-baru ini untuk merampas serta memperluaskan penguasaan ke atas kira-kira 70 peratus wilayah Gaza, dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh diterima sama sekali.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar atau Wisma Putra menegaskan bahawa langkah berkenaan merupakan satu lagi pencabulan terang-terangan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain melanggar pelbagai resolusi yang telah diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB.
Menurut Wisma Putra, masyarakat antarabangsa bersama PBB perlu mengambil pendirian tegas dengan menolak sebarang usaha untuk mengubah status wilayah Gaza, sambil memberi amaran bahawa tindakan sedemikian hanya akan menghakis lagi peluang untuk mencapai keamanan dan keadilan yang berkekalan di rantau berkenaan.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa Gaza sejak sekian lama merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin, malah sebelum penubuhan negara Israel.
Justeru, sebarang cubaan untuk mengubah hakikat tersebut hanya akan memperburuk ketidakstabilan keselamatan serta menambah penderitaan rakyat Palestin yang sudah lama terkesan akibat konflik berpanjangan.
“Rakyat Gaza terus berdepan penderitaan susulan tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh diterima,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata, usaha untuk menguasai lebih banyak wilayah Palestin jelas menunjukkan niat untuk menafikan hak sah rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dan berdaulat yang merangkumi Tebing Barat, Gaza serta Baitulmaqdis Timur.
Malaysia pada masa sama mengulangi komitmen dan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin, selain menegaskan sokongan berterusan kepada penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – BERNAMA










