Anwar Janji Perjelas Isu Hak 40 Peratus Hasil Sabah Esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan penjelasan berhubung isu tuntutan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan akan dibuat ketika lawatan beliau ke negeri itu esok.

Anwar berkata perkara berkenaan akan diperincikan kepada rakyat Sabah susulan perkembangan terkini berkaitan semakan hak kewangan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Isu 40 peratus hak Sabah akan dijelaskan esok di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Kampung Batu Muda berhampiran Batu Caves, hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika perdebatan mengenai hak hasil Sabah kembali mendapat perhatian selepas keputusan mahkamah dan desakan pelbagai pihak agar kerajaan Persekutuan menyegerakan pelaksanaan semakan kadar bayaran khas kepada negeri berkenaan.

Semalam, Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengakuan terbuka Anwar terhadap hak perlembagaan Sabah menerima 40 peratus hasil Persekutuan merupakan petanda positif yang mampu memperkukuh usaha mempercepat agenda pembangunan negeri.

Menurut beliau, meskipun kes berkaitan tuntutan tersebut masih berada dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap berpendirian bahawa semakan kadar baharu di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dimuktamadkan dan dilaksanakan tahun ini.

Pada April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak Sabah menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri itu.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Zaini Mazlan menyatakan kerajaan Persekutuan berisiko mengalami kesan ketara sekiranya diarahkan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi sebelum rayuan didengar dan diputuskan.

Sebelum itu, pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah serta melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal melaksanakan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir 50 tahun.

Mahkamah turut mengisytiharkan pembayaran khas yang dipersetujui antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah sebelum ini sebagai tidak sah, ultra vires serta tidak munasabah kerana bertentangan dengan kehendak Perlembagaan.

Selain itu, mahkamah mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kedua-dua pihak melaksanakan semakan hasil di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta memuktamadkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.

BBerkaitan

Latest articles