IPOH: Seorang wanita bersama dua anak perempuannya ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik di kediaman mereka di Bandar Baru Tambun, pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.10 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati tiga mangsa terbabit ialah seorang wanita tempatan berusia 46 tahun serta dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 12 dan 11 tahun.
“Siasatan di lokasi mendapati ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan tidak bernyawa di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, polis turut menemui sebuah bekas yang dipercayai mengandungi sisa pembakaran arang di dalam bilik tersebut.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pakar perubatan forensik tidak menemukan sebarang kesan kecederaan mahupun unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Menurut Muhammad Najib, kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa dijadualkan dijalankan pada Jumaat bagi membantu melengkapkan siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan sehingga siasatan selesai.










