Sokongan Cina, India Tidak Lagi Automatik Kepada PH, Pengundi Muda Pilih Parti Berbanding Calon

KUALA LUMPUR: ILHAM Centre mengesan perubahan ketara dalam pola sokongan pengundi bukan Melayu dan generasi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila sokongan tradisi terhadap Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin terhakis.

Menurut analisis badan penyelidikan itu, walaupun sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, sokongan mereka kini lebih bersifat pragmatik berbanding keterujaan yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN 2023.

ILHAM berkata, rasa tidak puas hati terhadap beberapa dasar kerajaan Persekutuan termasuk pelaksanaan cukai, penyasaran subsidi, e-invois, penguatkuasaan aktiviti perniagaan serta persepsi bahawa reformasi institusi bergerak perlahan antara faktor yang mempengaruhi sentimen pengundi Cina.

Keadaan itu menyebabkan PH bukan sahaja berdepan defisit sokongan Melayu, malah gagal mengekalkan tahap mobilisasi maksimum dalam kalangan penyokong terasnya sendiri.

Dalam kalangan pengundi India pula, ILHAM mendapati berlaku kecenderungan untuk menjauhkan diri daripada PH.

Antara isu yang sering dibangkitkan ialah penguatkuasaan terhadap kenderaan lebih muatan, pengurusan isu kuil serta beberapa dasar pentadbiran yang dianggap kurang sensitif terhadap keperluan komuniti India.

Perubahan sentimen itu dilihat signifikan memandangkan pengundi India membentuk sekitar 15 peratus daripada keseluruhan pengundi Negeri Sembilan dan boleh mempengaruhi keputusan di beberapa kerusi kompetitif.

Pada masa sama, ILHAM turut memberi perhatian terhadap kecenderungan pengundi muda yang kini membentuk hampir separuh daripada daftar pemilih negeri itu.

Kajian mendapati ramai pengundi kali pertama membuat keputusan lebih awal tanpa mengenali calon, sebaliknya memilih berdasarkan jenama parti dan naratif yang berlegar di media sosial.

Naratif politik identiti Melayu-Islam dilihat menjadi antara faktor yang paling mempengaruhi orientasi politik kumpulan ini, manakala isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, pemilikan rumah dan masa depan belia tidak diberi penekanan secukupnya oleh parti-parti yang bertanding.

ILHAM turut menyatakan Menteri Besar sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun, masih menikmati kadar penerimaan peribadi yang tinggi sekitar 75 peratus.

Namun, populariti beliau gagal diterjemahkan kepada peningkatan sokongan terhadap PH, terutama selepas berpindah dari Sikamat ke Linggi yang menyebabkan tumpuan kempen beliau lebih banyak tertumpu kepada mempertahankan kerusi sendiri berbanding membantu kempen di seluruh negeri.

BBerkaitan

Latest articles