KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang juruterbang warga tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki membawa kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA serta sejumlah kecil syabu ke negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta dari Kuala Lumpur pada malam Selasa lalu.
“Saya sahkan tangkapan ini. PDRM sudah dimaklumkan mengenai kes berkenaan.
“Suspek ditahan di sana dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara itu,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut maklumat awal, penahanan dilakukan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan imej mencurigakan pada bagasi kru menerusi pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dianggarkan seberat 25 kilogram, selain 2.7 gram syabu yang disembunyikan dalam bagasi berkenaan.
Difahamkan, ujian saringan air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis syabu, ekstasi dan kokain.
Sementara itu, media Indonesia melaporkan Pengarah Direktorat Tindak Pidana Narkoba Bareskrim Polri, Brigadir Jeneral Eko Hadi Santoso berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi sebuah sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Menurut beliau, suspek didakwa dijanjikan upah kira-kira RM50,000 oleh seorang dalang yang berpangkalan di Malaysia untuk menghantar bekalan dadah berkenaan ke Jakarta.
Siasatan turut mendapati suspek diarahkan mendaftar masuk ke sebuah hotel sebaik tiba di Indonesia sebelum dihubungi anggota sindiket bagi menyerahkan bagasi yang mengandungi dadah tersebut.










