KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Negeri Sembilan menutup tirai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan semangat perpaduan, sekali gus mengetepikan segala perbezaan yang timbul sepanjang tempoh berkempen.
Perdana Menteri berkata, setiap pilihan raya sememangnya menyaksikan pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat, malah tidak menolak kemungkinan berlaku keterlanjuran dalam kalangan pihak yang berkempen.
Menerusi satu hantaran video di Facebook hari ini, beliau menggesa semua pihak supaya saling bermaafan selepas tamat kempen dan kembali mengutamakan semangat persaudaraan sebagai rakyat Malaysia.
“PRN Negeri Sembilan bermula dan kita sudah melalui tempoh kempen dengan pelbagai pandangan dikemukakan.
“Saya percaya dalam proses itu ada keterlanjuran, jadi marilah kita saling bermaaf-maafan dan kembali bersahabat kerana kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR turut menyeru seluruh pengundi di Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum dan agama, supaya keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian esok.
Beliau berkata, PH memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri dapat diteruskan, di samping menjamin kestabilan politik dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran MADANI penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan terus diperkasakan.
“Saya mewakili PH memohon pertimbangan rakyat supaya diberikan peluang untuk kami meneruskan khidmat, menjamin kestabilan dan memacu pertumbuhan yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan MADANI,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan seramai 859,750 daripada 889,940 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16, esok.










