Bersatu Nafi Ada Rundingan Kembali Bersama PH

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menepis dakwaan kononnya parti itu sedang merancang untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat rasmi atau tidak rasmi parti termasuk di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Tun Faisal turut menafikan spekulasi bahawa usaha tersebut digerakkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan dakwaan wujud beberapa pertemuan antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak benar. Tidak pernah dibincangkan dalam Biro Politik, MPT atau mana-mana perbincangan tidak rasmi di dalam parti. Jika benar ada usaha ke arah itu, sudah tentu akan ada tanda atau bayangan gerakan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut memberi contoh gerakan akuan bersumpah (SD) yang pernah dikaitkan dengan penyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai sesuatu yang jelas menunjukkan wujudnya operasi tersusun jika benar ada perancangan politik tertentu.

Tun Faisal berkata, sehingga kini tiada sebarang petunjuk menunjukkan Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu mengikut langkah UMNO untuk bekerjasama dengan PH.

“Setakat ini tidak ada bunyi-bunyi ke arah itu. Tidak masuk akal,” katanya lagi.

Sebelum ini, timbul desas-desus mendakwa Bersatu mungkin kembali menyertai PH berikutan hubungan parti itu dengan PAS dikatakan semakin tegang kebelakangan ini.

Malah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pernah mengingatkan PH supaya berhati-hati sekiranya mahu kembali bekerjasama dengan Bersatu dan PAS berdasarkan pengalaman lalu yang dianggap pahit.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini turut meminta penjelasan mengenai dakwaan siri pertemuan sulit antara Azmin dan Anwar.

Perkara sama turut dibangkitkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi satu podcast apabila beliau mempersoalkan hubungan rapat antara kedua-dua tokoh politik itu.

Bagaimanapun, sehingga kini Mohamed Azmin masih belum memberikan sebarang penjelasan berhubung dakwaan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles