MELAKA: Institusi Raja Melayu bukan gelanggang percaturan politik yang boleh diubah mengikut kepentingan mana-mana pihak, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kedudukan Raja mesti dipelihara berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang, bukannya dipersoalkan apabila sesuatu keputusan tidak memihak kepada kelompok tertentu.
Mengulas kemelut institusi diraja di Negeri Sembilan, Anwar berkata beliau tidak boleh menerima sikap pihak yang lantang mempertahankan Raja Melayu tetapi berubah pendirian apabila keputusan diraja tidak selari dengan kehendak mereka.
“Di Negeri Sembilan, orang yang bising-bising, Raja Melayu, Raja Melayu, Raja Melayu, tapi bila keputusan tak selari dengan dia, mahu buang itu Raja Melayu. Saya tak boleh terima.
“Kita ikut Perlembagaan dan undang-undang. Kalau Raja ini kita boleh tukar-tukar ikut bulan, sistem Raja akan gagal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-41 di Encore Theatre Melaka, malam tadi.
Menurut Anwar, kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ada ketika ini adalah sah selagi proses berkaitan tidak dilaksanakan mengikut ketetapan Perlembagaan dan undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa institusi Raja tidak seharusnya dijadikan alat untuk memenuhi kepentingan politik, termasuk usaha mempengaruhi Raja supaya membuat keputusan mengikut kehendak pihak tertentu.
“Dia nampak kurang stabil kerana ada orang politik yang mahu jadikan isu. Dia mahu Raja ikut dia.
“Raja mesti ikut Perlembagaan. Raja jangan ikut orang politik, negeri akan rosak,” katanya.
Pendirian itu selari dengan penjelasan Jabatan Peguam Negara sebelum ini bahawa proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
AGC turut menjelaskan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.










