KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, tetap meneruskan agenda rasmi di China sebelum menguruskan proses peletakan jawatannya sebagai menteri selepas kembali ke Malaysia.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini memaklumkan Loke akan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan APEC ke-12 di Beijing yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Sepanjang berada di Beijing, beliau turut dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan dua hala serta menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU), termasuk MoU kerjasama dalam bidang pengangkutan antara Malaysia dan China.
“Selepas menyelesaikan program rasmi di Beijing, YB Menteri dijadualkan ke Shanghai untuk menyertai rombongan YAB Perdana Menteri sebelum kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara-perkara berkaitan proses peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian menegaskan segala urusan dan tanggungjawabnya akan terus dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur sepanjang proses berkenaan.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP pada Sabtu lalu mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau sebelum ini menjelaskan bahawa beliau memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa urusan kementerian yang masih tertunggak sebelum peletakan jawatan itu dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula berkata beliau akan bertemu Loke bagi membincangkan perkara berkenaan selepas kedua-duanya menyelesaikan lawatan ke Shanghai.










