Bayi 11 Bulan Maut Dipercayai Lemas Dalam Baldi Air Sabun

SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia selepas dipercayai lemas dalam sebuah baldi berisi air sabun di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, Seremban, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Yatim Osman berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa berada di bawah jagaan neneknya sejak jam 9 pagi sementara ibu bapanya keluar bekerja.

Katanya, sekitar jam 2.30 petang, bayi terbabit ditinggalkan tidur di dalam buaian ketika neneknya melakukan kerja rumah termasuk memasak dan menjemur pakaian.

“Tidak lama kemudian, wanita itu mendapati bayi berkenaan tiada di dalam buaian sebelum mencarinya di sekitar rumah.

“Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terlangkup di dalam baldi yang mengandungi sedikit air sabun di bahagian halaman belakang rumah dengan kepala berada di bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bayi itu segera dibawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 4.30 petang.

Mohd Yatim berkata, bedah siasat dijalankan awal pagi tadi namun punca sebenar kematian masih menunggu keputusan ujian makmal.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita berusia 54 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Sinniah menerusi talian 06-6033222 bagi membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles