HULU SELANGOR: Remaja Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mayat remaja itu ditemukan di luar laluan mendaki oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada kira-kira 11.59 pagi.
“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa mayat ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya kepada Bernama di PKTK hari ini.
Beliau berkata mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Terdahulu, SAR yang masuk hari keempat hari ini dimulakan pada 8 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi keselamatan selepas ditangguhkan pada 6.30 petang semalam.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat. – BERNAMA










