Hilman Bebas Pertuduhan Cetus Ketakutan Awam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini melepaskan dan membebaskan Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham daripada pertuduhan menyebabkan ketakutan awam menerusi kenyataan di media sosial.

Keputusan itu dibuat Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen pertuduhan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak berkenaan.

Mahkamah turut memutuskan Hilman tidak perlu dipanggil untuk membela diri selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan serta hujahan yang dikemukakan kedua-dua pihak.

“Sehubungan itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan,” kata Nurul Izzah.

Hilman, 37, sebelum ini didakwa pada 20 Ogos kerana didakwa membuat kenyataan menerusi akaun TikTok alfah.channel.tv yang dikatakan berkemungkinan mencetuskan kegemparan awam.

Kenyataan berkenaan turut didakwa berpotensi mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

BBerkaitan

Latest articles