​PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengemukakan 12 syor utama yang dinamakan ‘Malaysia Agenda 12’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu surat rasmi sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 pada 16 September ini.
​Menurut beliau, cadangan tersebut dirangka khusus bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, selain memupuk perpaduan serta integrasi kebangsaan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
​Beliau menegaskan, antara perkara utama yang ditekankan merangkumi pemulangan 40 peratus hasil bersih Kerajaan Persekutuan dari Sabah serta pelaksanaan autonomi mengikut Perjanjian 18 Perkara Sarawak dan 20 Perkara Sabah.
Selain itu, agenda berkenaan turut memfokuskan kepada langkah pemulihan Perindustrian Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui moratarium faedah pinjaman dan dana tanpa faedah.
​”Industri perbankan memang mampu menampung kos moratorium faedah bagi pinjaman sedia ada PMKS untuk tempoh setahun.
“Industri perbankan telah mencatatkan kenaikan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.5 bilion atau 13.5 peratus dalam tahun 2025 daripada RM48.3 bilion pada 2024 kepada RM54.8 bilion dalam tahun 2025,” katanya.
​Beliau menambah, pihak bank wajar memberikan sokongan padu kepada pengusaha tempatan yang kini terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik global.
​”Bank-bank harus menghulurkan tangan membantu pelanggan PMKS yang selama ini memberikan industri perbankan keuntungan yang lumayan semasa PMKS menghadapi cabaran besar ekoran peperangan Timur Tengah.
“Peranan penting PMKS dengan sumbangan 40 peratus kepada KDNK, menjanakan 49 peratus pekerjaan negara dan hampir 15 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2025 tidak boleh diambil ringan,” tegasnya.
​Mengulas mengenai aspek percukaian dan kebajikan isi rumah, Guan Eng turut mengesyorkan penubuhan Tribunal Pembayar Cukai Khas, penyesuaian skop Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST), serta pembatalan cadangan caruman KWSP dua peratus untuk pekerja asing.
Beliau turut menggesa peruntukan 10 peratus dana kerajaan diberi kepada bukan Bumiputera tanpa mengurangkan hak Bumiputera.
​Bagi mengurangkan beban golongan M40 dan menstrukturkan semula sistem pendidikan negara, beliau mencadangkan agar pelepasan cukai individu ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM12,000, di samping memperkenalkan satu peperiksaan seragam bagi kemasukan ke universiti awam menggantikan STPM, Asasi dan Matrikulasi.
​”Semoga Malaysia Agenda 12 ini boleh dipertimbangkan dan dilaksanakan demi kebaikan negara,” katanya.










