Nik Zawawi Sudah Ditegur, Hadi Ingatkan Sejarah Bukan Dalil Agama

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu sudah memberi teguran kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datum Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kontroversi kenyataannya berkaitan latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum memeluk Islam.

Menurut Hadi, peringatan dalaman telah dibuat terhadap Nik Zawawi selepas isu tersebut mencetuskan pelbagai reaksi susulan video ceramahnya di Kuala Terengganu yang tular di media sosial.

Beliau berkata, terdapat perbezaan besar antara fakta sejarah dengan sumber utama Islam seperti al-Quran dan hadis, malah sejarah tidak boleh dijadikan sandaran hukum atau dalil agama.

“Dalam penulisan sejarah terdapat pelbagai versi dan cerita, termasuk unsur yang tidak tepat. Sebab itu sejarah tidak boleh dijadikan dalil dalam Islam,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Marang, Terengganu.

Hadi turut memaklumkan beliau pernah menulis mengenai perkara berkaitan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah.

Kontroversi tercetus selepas Nik Zawawi didakwa mengeluarkan kenyataan kurang tepat mengenai beberapa sahabat Nabi ketika menyampaikan ceramah baru-baru ini.

Susulan itu, Nik Zawawi tampil memohon maaf dan mengakui terdapat kelemahan dalam cara beliau mengolah fakta serta penyampaian ketika berucap.

Beliau turut menjelaskan kenyataan tersebut bukan pendirian rasmi PAS, sebaliknya bertujuan menggambarkan bagaimana Islam berjaya mengubah kehidupan masyarakat jahiliah kepada lebih baik.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen itu kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Dewan Ulamak PAS Pusat juga dilaporkan telah menegur Nik Zawawi dan mengakui terdapat beberapa kesilapan fakta dalam ceramah berkenaan, khususnya membabitkan kisah sahabat Nabi.

BBerkaitan

Latest articles