Helikopter Empat Kali Pusing, 17 Rakyat Malaysia Masih Belum Ditemui di Nepal

KUALA LUMPUR: Usaha mengesan 17 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang selepas banjir besar melanda Rasuwa, Nepal, masih belum membuahkan hasil meskipun operasi pencarian menggunakan helikopter dilakukan.

Wakil Fishtail Tours & Travels, Roshan Panday, berkata helikopter terbabit sudah melakukan empat pusingan pencarian, termasuk penerbangan pada altitud rendah di kawasan enam kenderaan dinaiki kumpulan berkenaan dipercayai dihanyutkan arus deras.

Namun, katanya, tiada mangsa atau barangan yang dipercayai milik kumpulan terbabit berjaya ditemukan.

Malah, beberapa kediaman berhampiran lokasi kejadian turut dilaporkan lenyap selepas dihanyutkan arus banjir yang sangat kuat.

“Nampaknya arus berada pada tahap paling kuat ketika sampai di kawasan berkenaan,” katanya dalam mesej kepada New Straits Times hari ini.

Operasi pencarian kemudian diperluaskan ke kawasan hutan berhampiran sebelum helikopter menyusuri laluan sejauh kira-kira 30 kilometer ke hilir dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pencarian dari udara itu masih tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai nasib kumpulan terbabit.

Pada masa sama, pasukan Fishtail Tours & Travels di darat turut mengambil langkah proaktif dengan membahagikan anggota di pejabat kepada tiga kumpulan untuk melakukan pemeriksaan di beberapa hospital.

Pemeriksaan itu bertujuan mengenal pasti kemungkinan ada anggota kumpulan berkenaan yang berjaya diselamatkan tetapi mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada 17 rakyat Malaysia itu ditemui setakat ini.

Pasukan terbabit turut membantu mengenal pasti mayat yang ditemukan selepas bencana berkenaan, namun tiada satu pun setakat ini dikenal pasti secara positif sebagai anggota kumpulan yang hilang.

“Usaha pencarian masih diteruskan,” kata Roshan.

Menurutnya, kumpulan berkenaan bergerak menggunakan enam kenderaan yang membawa 27 pelancong, terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, dua warga Amerika Syarikat dan seorang warga Britain.

Perjalanan itu turut disertai tujuh kru warga Nepal, termasuk seorang doktor sukarelawan yang bertanggungjawab memberikan sokongan perubatan kepada pelancong yang melakukan perjalanan ke kawasan altitud tinggi.

Enam pemandu turut terbabit dalam perjalanan berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan individu dalam rombongan itu seramai 33 orang.

Nasib 17 rakyat Malaysia berkenaan masih belum diketahui selepas mereka gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, manakala operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan.

BBerkaitan

Latest articles