Bekas Pengarah Besar Badan Berkanun Antara Dua Ditahan SPRM

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengarah besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk antara dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan penjualan tanah milik badan berkenaan.

Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an itu bersama seorang lagi suspek berusia 50-an ditahan kira-kira jam 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangan.

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju.

Urus niaga berkenaan dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah serta anak syarikat badan berkanun terbabit.

“Mereka turut disyaki terbabit dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pelantikan sebuah syarikat pemaju bagi melaksanakan projek di Kuala Lumpur,” katanya.

Kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

BBerkaitan

Latest articles